Cari Blog Ini

Khamis, 13 Oktober 2011

Tugas Guru Dalam Menerapkan Didikan Nilai-Nilai Murni

Firman Allah Taala dalam surah al-Baqarah ayat 104 yang mafhumnya:
“Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma`ruf dan mencegah dari yang munkar; merekalah orang-orang yang beruntung”.
Melalui tafsiran ayat di atas tadi, dapatlah kita fahami bahawa setiap di antara manusia itu dipertanggungjawabkan dalam menjalankan kerja yang berkebajikan dan mulia ini. Dan mereka adalah ‘Guru’. Guru adalah sebagai pendidik, pengajar, pemberi nasihat juga sebagai ibu bapa di sekolah yang memeduli pelajar-pelajarnya. Jadi sememangnya guru adalah tonggak utama dalam menjayakan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran di sekolah-sekolah. Tanpa guru, apalah gunanya kurikulum dan siapalah pelajar itu.
Jika dipandang dari satu sudut, tanggungjawab yang dipikul oleh para guru adalah amat berat kerana untuk mencapai matlamat dan tujuan pendidikan negara adalah sangat mencabar dan sukar untuk ditempuhi. Manakan tidak, jika sesuatu kurikulum sekolah itu tidak berjaya atau gagal, maka orang pertama yang dipersalahkan adalah ‘guru’. Apatah lagi dalam menerapkan nilai-nilai murni dalam diri-diri pelajar, sememangnya bukan kerja yang mudah seperti yang disangkakan dan di lihat di media-media dan sebagainya.
Antara tugas dan tanggungjawab seorang guru dalam menerapkan nilai-nilai Islam dalam diri pelajar-pelajar sebenarnya adalah pertama kali guru itu perlulah menjadikan diri mereka sebagai model kepada pelajar-pelajarnya. Maksudnya di sini, untuk melahirkan pelajar-pelajar yang berakhlak mulia, guru itu perlulah menjadi contoh kepada mereka dengan menunjukkan sifat mahmudah itu seperti memberi salam ketika bertemu, beradab ketika bercakap dengan orang yang lebih tua, suka menolong orang yang dalam kesusahan dan sebagainya. Dari situ, tidak mustahil pelajar-pelajar akan tertarik dengan guru itu sendiri dan terikut-ikut dengan apa yang ditunjukkan kepada mereka.
Dan lagi, jika berada di dalam kelas, sama ada strategi, kaedah, atau teknik pengajaran seseorang guru itu perlulah boleh menarik minat pelajar itu sendiri. Ini adalah sebagai rangsangan kepada pelajar untuk meminati subjek-subjek yang diajarkan lebih-lebih lagi pelajaran yang ada menerapkan nilai-nilai moral dan akhlak. Guru perlu kreatif dalam menyerapkan nilai-nilai akhlak kepada pelajar di dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Janganlah hanya kerana semata-mata untuk menghabiskan syllabus sahaja tanpa menghiraukan nilai-nilai yang terkandung dalam pelajaran tersebut.
Saya percaya jika seorang guru melakukan dengan yang sedemikian tadi, akan membolehkan pengajar dan pembelajaran itu dianggap berkesan dan mencapai objektif seperti yang dirancangkan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan