Cari Blog Ini

Khamis, 13 Oktober 2011

Menuntut Ilmu menurut perspektif Islam

Kedatangan Islam membawa gesaan menuntut, menyebar dan memuliakan ilmu. Wahyu yang pertama iaitu ayat 1-5 surah Al-‘Alaq dengan jelas mewajibkan pencarian ilmu. Oleh itu agama Islam ini dapatlah dikatakan sebagai tertegak atas dasar ilmu atau pengetahuan. Tanpa ilmu dan pengetahuan kita tidak akan dapat mengenal Khaliq dan seterusnya tidak dapat berbakti kepadaNya. Perkataan “ilmu” disebut kira-kira 750 kali dalam Al-Qur’an melalui berbagai bentuk (Muhammad Dawilah,1993:9). Orang yang berilmu diberikan pujian dan dipandang mulia di sisi Islam. Hal ini dapat kita lihat melalui banyak ayat Al-Qur’an antaranya,


Firman Allah S.W.T yang bermaksud:
“Katakanlah: Adakah sama orang yang berilmu dengan orang yang tidak berilmu”. (Az-Zumar:9)

Firman Allah S.W.T maksudnya:
“Allah memberikan hikmah (ilmu pengetahuan) kepada sesiapa yang dikehendakiNya dan orang-orang yang diberikan ilmu pengetahuan beerti ia telah diberikan kebaikan yang banyak”. (Al-Baqarah:269)
Firman-Nya lagi maksudnya:
“Hanya sanya orang yang takut kepada Allah ialah orang yang berilmu”. (Al-Faatir:28)

Konsep Ilmu

Konsep ilmu dalam Islam merujuk kepada hakikat bahawa Allah S.W.T sebagai pemilik mutlak ilmu. Manusia hanya diberikan sedikit sahaja ilmu. Namun begitu ilmu yang sedikit sangat bermakna di sisi Allah jika ianya digunakan sebaik mungkin iaitu sehingga membawa kepada keimanan yang kukuh terhadap Allah serta mengikut perintah dan menjauhi laranganNya. Ilmu mesti dipelajari dan dikembangkan berdasarkan asas-asas tauhid dan disertakan integrasi iman, kemanfaatan ilmu, amalan yang soleh dan akhlak yang mulia (Mohd. Kamal Hassan, 1998:19).

Dasar ini jelas melalui wahyu pertama iaitu surah Al-‘Alaq yang menyatukan antara tauhid (melalui sifat al-Khaliq mutlak) dengan ilmu (Muhammad Dawilah,1993:9). Semua pancaindera zahir dan batin yang dijadikan oleh Allah adalah bermatlamatkan pencarian ilmu yang benar. Lantaran itu manusia yang tidak menggunakan pancaindera tersebut untuk mendapatkan ilmu yang benar akan dikutuk. Hal ini jelas melalui firman Allah S.W.T,

"Sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka Jahannam kebanyakkan Jin dan manusia, bagi mereka ada jantung hati (tetapi) tidak mengerti dengannya, dan bagi mereka ada mata (tetapi) tidak melihat dengannya, dan bgai mereka ada telinga (tetapi) tidak mendengar dengannya. Mereka itu seperti binatang ternakan, bahkan mereka lebih sesat. Mereka itulah orang-orang yang lengah." (Al-‘Alaq:179)


Hukum Menuntut Ilmu
"Tuntutlah ilmu walaupun sampai ke negeri Cina". (Al-Hadis)

Kadang-kadang kita lupa untuk apa sebenarnya kita menuntut ilmu, dan kita juga lupa apa hukumnya menuntut ilmu dalam agama Islam. Dalam hal tersebut, saya ingin mengingatkan kembali untuk apa sebenarnya, dan apa hukumnya kita menuntut ilmu dalam agama Islam. Hal tersebut ada dinyatakan di dalam buku "Ilmu Fiqih Islam" karangan Drs. H. Moh. Rifai.

Apabila kita memperhatikan isi Al-Qur’an dan Al-Hadis, terdapat beberapa suruhan yang mewajibkan bagi setiap muslim baik laki-laki mahupun perempuan, untuk menuntut ilmu, agar tergolong menjadi umat yang cerdas, jauh dari kabut kejahilan dan kebodohan. Menuntut ilmu artinya berusaha dengan jalan menanya, melihat atau mendengar. Perintah kewajiban menuntut ilmu terdapat dalam hadis Nabi Muhammad S.A.W. yang bermaksud;
"Menuntut ilmu adalah fardhu bagi tiap-tiap Muslim, baik laki-kali mahupun perempuan." (HR. Ibn Abdulbari)

Dari hadis ini kita memperoleh pengertian bahawa Islam mewajibkan pemeluknya agar menjadi orang yang berilmu, berpengetahuan, mengetahui segala kemaslahatan dan jalan kemanfaatan; menyelami hakikat alam, dapat meninjau dan menganalisis segala pengalaman yang didapati oleh umat yang lalu, baik yang berhubungan dengan ‘aqidah dan ibadat, serta hubungannya dengan soal-soal keduniaan dan segala keperluan hidup.

Nabi Muhammad S.A.W. bersabda:
"Barangsiapa menginginkan soal-soal yang berhubungan dengan dunia, wajiblah ia memiliki ilmunya; dan barangsiapa yang ingin (selamat dan berbahagia) di akhirat, wajiblah ia mengetahui ilmunya pula; dan barangsiapa yang menginginkan kedua-duanya, wajiblah ia memiliki ilmu kedua-duannya pula." (HR. Bukhari dan Muslim)

Islam mewajibkan kita menuntut ilmu-ilmu dunia yang memberi manfaat dan berguna untuk kita dalam hal-hal yang berhubungan dengan kehidupan kita di dunia, agar tiap-tiap muslim tidak dikategorikan sebagai terkebelakang dan agar setiap muslim dapat mengikuti perkembangan ilmu pengetahuan yang dapat membawa kemajuan bagi penghuni dunia ini dalam batas-batas yang diredhai Allah swt. Demikian pula Islam mewajibkan kita menuntut ilmu-ilmu deenul Islam agar menghasilkan natijah yang sempurna, amalan yang dilakukan sesuai dan selaras dengan perintah-perintah syara’. Hukum wajibnya perintah menuntut ilmu itu adakalanya wajib ‘ain dan adakalanya wajib kifayah.

Islam mewajibkan kita menuntut ilmu-ilmu dunia yang memberi manfaat dan berguna untuk kita dalam hal-hal yang berhubungan dengan kehidupan kita di dunia, agar tiap-tiap muslim tidak dikategorikan sebagai terkebelakang dan agar setiap muslim dapat mengikuti perkembangan ilmu pengetahuan yang dapat membawa kemajuan bagi penghuni dunia ini dalam batas-batas yang diredhai Allah swt. Demikian pula Islam mewajibkan kita menuntut ilmu-ilmu deenul Islam agar menghasilkan natijah yang sempurna, amalan yang dilakukan sesuai dan selaras dengan perintah-perintah syara’. Hukum wajibnya perintah menuntut ilmu itu adakalanya wajib ‘ain dan adakalanya wajib kifayah.

Pembahagiaan Ilmu
Syari’ah Islam menggariskan dua bahagian besar ilmu iaitu ilmu fardhu ‘ain dan fardhu kifayah. Fardhu ‘ain dirujuk kepada ilmu yang wajib diketahui oleh setiap orang "mukallaf" atau yang sudah diberi pertanggungjawaban dalam Islam. Fardhu kifayah pula ialah ilmu yang diwajibkan ke atas sebahagian umat Islam untuk menguasainya dan jika terdapat sebahagian yang sudah menguasainya maka terlepaslah kewajipan umat Islam yang lain daripada bebanan wajibnya.

Ilmu fardhu ‘ain boleh dibahgikan kepada empat bahagian iaitu ilmu yang berkaitan rukun iman, yang berkaitan dengan hukum hakam, yang berkaitan dengan perkara-perkara yang diharamkan dan yang berkaitan dengan pergaulan dan muamalah seharian (Amir A. Rahman, 1991:110-111). Fardhu kifayah pula ialah bidang ilmu yang luas dan sering berjalan seiring dengan perkembangan zaman. Sebahagian umat Islam diwajibkan untuk mengetahuinya agar tidak memberikan kesan buruk kepada Islam yang mungkin menghadapi ketinggalan dalam bidang kebendaan serta terancam keselamatannya.

Ilmu yang wajib ‘ain dipelajari oleh mukallaf iaitu yang perlu diketahui untuk meluruskan ‘aqidah yang wajib dipercayai oleh seluruh muslimin; dan yang perlu diketahui untuk melaksanakan pekerjaan-pekerjaan yang difardhukan atasnya, seperti shalat, puasa, zakat dan haji.

Di samping itu perlu dipelajari ilmu akhlak untuk mengetahui adab sopan santun yang perlu kita laksanakan dan tingkah laku yang harus kita tinggalkan. Di samping itu harus pula mengetahui kepandaian dan keterampilan yang menjadi tonggak hidupnya. Adapun pekerjaan-pekerjaan yang tidak dikerjakan sehari-hari maka diwajibkan mempelajarinya kalau dikehendaki akan melaksanakannya, seperti seseorang yang hendak memasuki alam rumah tannga seperti syarat-syarat dan rukun-rukunnya dan segala yang diharamkan dan dihalalkan dalam menggauli isterinya.

Sumber Ilmu
Kebanyakkan manusia mengagungkan akal sebagai punca ilmu yang tidak terbatas. Mereka mletakkan akal sebagai pembeza utama dalam apa hal sekalipun. Keadaan ini menyebabkan ramai manusia yang sesat dan menyesatkan seperti yang berlaku pada zaman Greek purba yang mencari Tuhan dengan semata-mata menggunakan akal. Islam meletakkan sumber ilmu yang jelas dan tersusun rapi serta terjamin kesahihan dan ketekalannya. Al-Qur’an dan Sunnah adalah dua sumber utama ilmu dalam Islam. Kedua-duanya dirujuk sebagai sumber "wahyu". Selepas itu barulah akal diletakkan sebagai antara sumber ilmu dan masih lagi di bawah naungan wahyu (Hassan Langgulung, 1981:28). Bertepatan dengan fakta tersebut, Mohd. Kamal Hassan (1988:25) menjelaskan punca ilmu dalam Islam terbahagi kepada dua iaitu Naqli atau Revealed Knowledge (Wahyu) dan ‘Aqli atau Acquired Knowledge (akal). Firman Allah S.W.T maksudnya:

"Sebagaimana Kami telah mengutuskan seorang Rasul kepadamu, iaitu salah seorang di antara kamu yang membacakan ayat-ayat Kami kepadamu, membersihkan kamu (daripada kelakuan yang tidak baik) dan mengajarkan Kitab dan hikmah kepadamu dan lagi mengajarkan apa-apa yang belum kamu ketahui." (Al-Baqarah:151)

Objektif Ilmu
Tujuan menuntut ilmu bukanlah bermatlamat ilmu semata-mata tetapi ia merupakan wasilah (jalan) untuk memahami dan menguasainya bagi melaksanakan ubudiyyah kepada Allah S.W.T. Tujuan menuntut ilmu juga adalah untuk melaksanakan petunjuk Allah S.W.T. sebab itulah menuntut ilmu adalah fardhu bagi setiap muslim, sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud;

"Menuntut ilmu adalah fardhu bagi setiap muslimin dan muslimat".

Antara lain tujuan menuntut ilmu ialah untuk membina kekuatan ummah Islam dan untuk mencari kemaslahatan masyarakat manusia. Membina kekuatan umat merupakan salah satu tanggungjawab para penuntut kerana merekalah bakal pemimpin di masa depan. Oleh yang demikian, kemaslahatan ummah banyak bergantung kepada pemimpin dan kepimpinannya.

Antara lain tujuan menuntut ilmu ialah untuk membina kekuatan ummah Islam dan untuk mencari kemaslahatan masyarakat manusia. Membina kekuatan umat merupakan salah satu tanggungjawab para penuntut kerana merekalah bakal pemimpin di masa depan. Oleh yang demikian, kemaslahatan ummah banyak bergantung kepada pemimpin dan kepimpinannya.

Moga-moga dengan tujuan yang suci dan bersih ini dapat melahirkan para ilmuan yang membangunkan muka bumi ini menurut apa yang telah digariskan oleh Allah S.W.T. Ini bermakna menuntut ilmu di dalam Islam bukanlah sekadar mencari habuan dunia, wang ringgit dan harta benda akan tetapi ianya merupakan suatu usaha untuk melengkapkan diri sebagai hamba Allah dan khalifah Allah S.W.T. di muka bumi ini . Para ilmuan Islam mestilah memahami bahawa mereka wajib memainkan peranan untuk menegakkan kebenaran, keadilan dan keamanan sejagat iaitu dengan cara mengembalikan sistem Islam memerintah alam ini. Para ilmuan Islam juga perlu berusaha sedaya upaya mungkin menjadikan diri mereka sebagai pekerja Islam dan penda’wah ke arah melahirkan ummah Islam yang iltizam dengan Islam dalam segenap aspek kehidupan. Allah S.W.T. berfirman dalam Al-Qur’an yang bermaksud;

"Wahai orang-orang yang beriman masuklah kamu ke dalam Islam keseluruhannya.." (Al-Baqarah:208)

Para ilmuan Islam juga sama sekali tidak boleh lupa bahawasanya antara tugas seorang muslim itu ialah menegakkan yang ma’ruf iaitu mengajak manusia menegakkan dan mendaulatkan ajaran Allah S.W.T. dan mencegah kemungkaran iaitu melarang manusia dari melakukan larangan Allah S.W.T. dari sekecil-kecil perkara sehinggalah sebesar-besar perkara.

Sabba Rasulullah S.A.W. yang bermaksud;

"Sesiapa yang melihat kemungkaran hendaklah ia cegah dengan tangannya (kuasa), sekiranya tidak mampu cegahlah ia dengan lisan seandainya tidak mampu juga; cegahlah ia dengan hati itu yang paling lemah imannya."

Sehubungan dengan itu Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud;
" Wahai rasul, sampaikanlah apa-apa yang diturunkan kepada kamu dari Rabb kamu. Dan jika kamu tidak mengerjakannya maka tidaklah kamu menyampaikan risalahNya. Allah memelihara kamu daripada manusia, sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang kafir". (Al-Maidah:67)

Sehubungan dengan itu Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud;
Diperintah oleh agama, sungguh tidak disangkal lagi, bahawa mengajar adalah suatu pekerjaan yang seutama-utamanya. Nabi diutus ke dunia inipun dengan tugas mengajar, sebagaimana sabdanya;
" Aku diutus ini, untuk menjadi pengajar." (HR.Baihaqi)

Sekiranya Allah tidak membangkitkan Rasul untuk menjadi guru manusia, guru dunia, tentulah manusia tinggal dalam kebodohan sepanjang masa. Walaupun akal dan otak manusia mungkin menghasilkan berbagai ilmu pengetahuan, namun masih ada juga hal-hal yang tidak dapat dijangkaunya, iaitu hal-hal yang di luar akal manusia. Untuk itulah Rasul Allah dibangkitkan di dunia ini. Mengingat pentingnya penyebaran ilmu pengetahuan kepada manusia/masyarakat secara luas agar mereka tidak dalam kebodohon dan kegelapan, maka diperlukan kesedaran bagi para mualim, guru dan ulama, untuk beriringan tangan menuntun mereka menuju kebahagiaan dunia dan akhirat. Bagi para guru dan ulama yang suka menyembunyikan ilmunya, mereka mendapat ancaman, sebagaimana sabda Nabi S.A.W.;
"Barangsiapa ditanya tentang sesuatu ilmu, kemudian menyembunyikan (tidak mahu memberikan jawapannya), maka Allah akan mengekangkan (mulutnya), kelak di hari kiamat dengan kekangan (kendali) dari api neraka." (HR Ahmad)

Marilah kita menuntut ilmu pengetahuan sesempat mungkin dengan tidak ada hentinya tanpa menguzurkan diri sampai ke liang kubur, dengan ikhlas dan tekad mengamalkan dan menyumbangkannya kepada masyarakat, agar kita semua dapat mengenyam hasil dan buahnya di akhirat nanti.

Tugas Guru Dalam Menerapkan Didikan Nilai-Nilai Murni

Firman Allah Taala dalam surah al-Baqarah ayat 104 yang mafhumnya:
“Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma`ruf dan mencegah dari yang munkar; merekalah orang-orang yang beruntung”.
Melalui tafsiran ayat di atas tadi, dapatlah kita fahami bahawa setiap di antara manusia itu dipertanggungjawabkan dalam menjalankan kerja yang berkebajikan dan mulia ini. Dan mereka adalah ‘Guru’. Guru adalah sebagai pendidik, pengajar, pemberi nasihat juga sebagai ibu bapa di sekolah yang memeduli pelajar-pelajarnya. Jadi sememangnya guru adalah tonggak utama dalam menjayakan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran di sekolah-sekolah. Tanpa guru, apalah gunanya kurikulum dan siapalah pelajar itu.
Jika dipandang dari satu sudut, tanggungjawab yang dipikul oleh para guru adalah amat berat kerana untuk mencapai matlamat dan tujuan pendidikan negara adalah sangat mencabar dan sukar untuk ditempuhi. Manakan tidak, jika sesuatu kurikulum sekolah itu tidak berjaya atau gagal, maka orang pertama yang dipersalahkan adalah ‘guru’. Apatah lagi dalam menerapkan nilai-nilai murni dalam diri-diri pelajar, sememangnya bukan kerja yang mudah seperti yang disangkakan dan di lihat di media-media dan sebagainya.
Antara tugas dan tanggungjawab seorang guru dalam menerapkan nilai-nilai Islam dalam diri pelajar-pelajar sebenarnya adalah pertama kali guru itu perlulah menjadikan diri mereka sebagai model kepada pelajar-pelajarnya. Maksudnya di sini, untuk melahirkan pelajar-pelajar yang berakhlak mulia, guru itu perlulah menjadi contoh kepada mereka dengan menunjukkan sifat mahmudah itu seperti memberi salam ketika bertemu, beradab ketika bercakap dengan orang yang lebih tua, suka menolong orang yang dalam kesusahan dan sebagainya. Dari situ, tidak mustahil pelajar-pelajar akan tertarik dengan guru itu sendiri dan terikut-ikut dengan apa yang ditunjukkan kepada mereka.
Dan lagi, jika berada di dalam kelas, sama ada strategi, kaedah, atau teknik pengajaran seseorang guru itu perlulah boleh menarik minat pelajar itu sendiri. Ini adalah sebagai rangsangan kepada pelajar untuk meminati subjek-subjek yang diajarkan lebih-lebih lagi pelajaran yang ada menerapkan nilai-nilai moral dan akhlak. Guru perlu kreatif dalam menyerapkan nilai-nilai akhlak kepada pelajar di dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Janganlah hanya kerana semata-mata untuk menghabiskan syllabus sahaja tanpa menghiraukan nilai-nilai yang terkandung dalam pelajaran tersebut.
Saya percaya jika seorang guru melakukan dengan yang sedemikian tadi, akan membolehkan pengajar dan pembelajaran itu dianggap berkesan dan mencapai objektif seperti yang dirancangkan.

Sekadar Renungan

Jawapan Paling Logik Mengapa Umat Islam Mengadap Kaabah Untuk Sembah Allah

Kita sebagai orang Islam tak semua tahu kenapa setiap kali kita solat atau sembahyang kena mengadap kaabah..Dialog di bawah akan menerangkan dengan jelas persoalan yang terbuku pada sesetengah fikiran umat Islam..

Satu hari di majlis hi-tea Inter Faith Gathering di sebuah restoran mamak...

Missionary : Mengapa orang Islam, dia sembah kotak hitam ?

Pendakwah : Salah tu bro. Umat Islam sembah ALLAH bukan kotak hitam...

Missionary : Bukankah orang Islam sembah menghadap ke Kaabah, satu kotak berwarna hitam? Apakah ALLAH itu dalam Kaabah ?

Belum sempat pendakwah menjawab…Handphone N95 Missionary berbunyi…Missonary menjawab panggilan telefonnya… Pendakwah sabar menanti…Setelah Missionary selesai menjawab panggilan di N95-nya, dia merenung kepada Pendakwah... Pendakwah tersenyum…
Missionary : Mengapa tersenyum ? Bila awak hendak jawab soalan saya ?

Pendakwah : Erm…perlukah saya menjawab soalan awak ?

Missionary : Awak tak ada jawapan ?

Pendakwah : Bukan itu maksud saya. Tadi saya cuba gunakan teori yang awak gunakan untuk membuat soalan yang awak ajukan kepada saya. Saya dapati awak kurang siuman...

Missionary : Mengapa awak caka begitu ?

Pendakwah : Tadi saya lihat awak bercakap seorang diri, ketawa dan tersenyum seorang diri. Dan awak mencium handphone tu sambil cakap “I love you mom”...
Missionary : Saya bukan cakap seorang diri…Saya bercakap dengan emak saya… Dia yang telefon saya tadi...

Pendakwah : Mana ada emak awak. Saya tak nampak pun emak awak…

Missionary : Emak saya di Penang. Dia telefon saya, saya jawab gunakan telefon. Apa masalahnya ? (Nada suara Missionary semakin tinggi dan marah). Takkan itu pun awak tak boleh hendak fikir ?
Pendakwah : Boleh saya tengok handphone awak ?...

Missionary menghulurkan N95nya kepada Pendakwah…Pendakwah mengambi N95 tersebut…Pendakwah membelek-belek N95 tersebut...Pendakwah menggooncang-goncang N95 tersebut sambil mengetuk-ngetuk N95 tersebut ke muka meja…Lantas…Pendakwah menghempaskan sekuat hati N95 tersebut ke lantai…bersepaiiiiiiiiii....Merah padam muka Missionary menahan marah.... Pendakwah merenung muka Missionary sambil tersenyum...

Pendakwah : Mana emak awak ? Saya tengok tak da pun… Saya pecahkan handphone ni pun tak da emak awak dalam handphone...

Missionary : MENGAPA AWAK NI ****H SANGAT ? Teknologi komunikasi sudah maju… Kita boleh berhubung jarak jauh menggunakan talian telefon dan teknologi wireless. Awak tak guna otakkah ?

Pendakwah : Alhamdulillah (sambil tersenyum)…Begitu juga halnya dengan ALLAH S.W.T… Umat Islam menyembah menghadap Kaabah, bukan bermakna umat Islam menyembah Kaabah… Tetapi umat Islam menyembah atas arahan ALLAH… ALLAH mengarahkan umat Islam untuk sembahyang, kena menghadap Kaabah… Ini juga bukan bermakna ALLAH itu ada dalam Kaabah....

Begitu juga dengan awak dan telefon…Emak awak menelefon awak menggunakan handphone Nokia N95…ini bukan bermakna emak awak ada dalam N95 tu…Tetapi Syarikat telekomunikasi menetapkan peraturan, kalau hendak cakap dengan emak melalui telefon kena dail nombor awak, barulah talian akan bersambung antara awak dan emak awak, dan awak boleh berbual melalui N95 walaupun emak awak tiada dalam handphone tu...

Kemudian Pendakwah bangkit dari kerusinya, mengeluarkan wallet, dan menghulurkan RM 1500 kepada Missionary … Nah ini duit untuk awak beli N95 yang baru …. Pendakwah terus meninggalkan Missionary yang masih kelihatan confuse... Mungkin dia bingung. Bingung kerana Islam mempunyai jawapan kepada segala persoalan berbanding agamanya...

Pendidikan Islam melalui ict

Sesungguhnya agama Islam itu adalah agama yang syumul. Ianya tidak hanya disebar melalui ceramah atau perbualan sesama kita dan sebagainya, tetapi melalui teknologi ict juga muslim dan muslimah dapat berdakwah dalam menyampaikan ajaran Islam itu. Oleh yang demikian, semoga usaha yang dibuat ini dapat memberikan manfaat kepada semua para pembaca. Dan segala kritikan dan pandangan dalam pembuatan blog ini akan diterima secara positif. Akhir kalam, bersama-samalah kita menjadikan ciptaan teknologi yang canggih ini bagi tujuan dakwah dan dapat menyampaikan ilmu walau di mana kita berada. Wassalam